TeRiMa KaSiH PeNgIkUt SeTiA

Memaparkan catatan dengan label motivasi anak-anak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label motivasi anak-anak. Papar semua catatan

Jumaat, 27 Julai 2012

Luqman Hakim berpesan kepada anaknya,

katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."

Isnin, 23 Mei 2011

Membentuk keperibadian dan sikap anak-anak


DALAM sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih, maka kedua-dua ibu bapanyalah yang menjadikannya bersikap seperti Yahudi, Nasrani atau Majusi."
Hadis ini jelas membuktikan ibu dan bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk keperibadian dan sikap anak-anak. Terdapat tiga perkara utama yang perlu diusahakan dalam membentuk keperibadian anak-anak iaitu dengan melaksanakan komunikasi unggul, menunjukkan teladan yang baik dan paling penting, utamakan solat dan berdoa.

Komunikasi unggul
Ramai ibu bapa menganggap disiplin anak-anak akan dibentuk melalui kekerasan. Hakikatnya, peribadi mulia anak-anak akan wujud hasil daripada komunikasi unggul antara ibu bapa dan anak.
Ibu bapa perlu sentiasa berdampingan dengan anak-anak, bercakap dengan mereka, mengambil berat mengenai setiap kehendak mereka dan jangan sampai anak-anak merasakan mereka tersisih.
Sikap degil dan keras kepala si anak boleh wujud hasil daripada rasa tidak puas hati yang wujud dalam diri anak tersebut. Mereka bersikap degil sebagai tanda protes dan memberontak agar mereka diberi perhatian.
Anak perlukan kasih sayang dan belaian. Manjakan anak-anak tetapi jangan berlebihan. Belajar untuk katakan 'tidak' apabila perlu dan tepat pada masa serta keadaannya.

Jika anak bersalah, jangan terus menengking marah kepadanya. Praktikkan untuk menegur terlebih dahulu, jelaskan kesilapannya dan kemudian berpesan supaya jangan ulangi kesilapan tersebut.
Pakar psikologi menjelaskan, seorang anak kecil perlu ditegur dan diingatkan mengenai sesuatu perkara sekurang-kurangnya 200 kali. Selepas 200 kali teguran diberi, barulah anak tersebut boleh dimarahi.
Marah yang berpada-pada, jangan gunakan kata-kata kesat dan keras. Jiwa anak-anak terlalu lembut dan mudah untuk mengingati sesuatu yang melukakan hati. Mereka juga terlalu payah untuk melupakannya malah dalam banyak kes, segala keperitan dan kepedihan yang dialami ketika kecil diingati hingga mereka dewasa. Paling membimbangkan, sikap tersebut diwarisi kepada anak-anaknya pula.

Jangan biasakan memukul anak hanya kerana perkara kecil. Pukulan hanya langkah terakhir apabila teguran berulang kali diberikan dan pemulauan anak-anak dilaksanakan.
Pemulauan bermaksud, pinggirkan anak tersebut seketika dengan tidak melayan kehendaknya atau tidak dibawa bersembang sama. Tindakan itu menjelaskan bahawa anda merajuk hati dengan sikap tidak pedulinya terhadap teguran anda.

Setelah teguran dan pemulauan dilakukan, barulah pukulan boleh dilaksanakan. Itupun hanya dengan tujuan mengajar. Gunakan rotan yang sederhana, tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil.
Pukulan dibuat dengan keadaan lengan rapat ke tubuh dan dihayun rotan tersebut ke bahagian tubuh yang terlindung. Tempat terbaik ialah di tapak kaki. Untuk makluman, pakar kesihatan mengakui, pukulan di tapak kaki membantu pengaliran darah yang sudah semestinya baik untuk kesihatan.
Teladan yang baik

Ramai ibu bapa yang bersikap seperti ketam, menyuruh si anak berjalan betul tetapi diri sendiri gagal berjalan betul. Ibu bapa sepatutnya bersikap walk the talk iaitu menunjukkan sikap yang baik untuk anak-anak agar anak-anak boleh meneladaninya.

Jika tidak suka anak-anak lewat mandi, ibu bapa seharusnya mandi awal pagi. Jika tidak suka anak-anak bercakap keras dan kasar, ibu bapa perlu bercakap baik dan berhemah.
Jangan sesekali mengelirukan anak-anak dengan arahan. Sebagai contoh, si ibu menegur kesilapan si anak tetapi si bapa pula memarahi si ibu. Anak akan keliru, mana satu yang betul sebenarnya?
Jangan tonjolkan sikap buruk yang telah menjadi tabiat anda kepada anak-anak. Anda tentu tahu, anak anda diajar di sekolah tentang tabiat merokok itu tidak elok untuk kesihatan.

Jika anda merokok di depan anak, mereka akan keliru dengan ajaran guru sekali gus tidak hormatkan guru. Lebih sadis apabila mereka gagal untuk hormati anda sebagai ibu atau bapa.
Penting! Jika ada perselisihan faham antara anda dan pasangan anda, elakkan bermasam muka atau bertengkar di hadapan anak. Sikap keras anda akan mudah diteladani mereka.

Utamakan solat dan berdoa
Sebagai individu Muslim, anda perlu mendidik agar anak anda mengutamakan solat lima waktu. Solat bukan semata-mata ibadat dan tanda syukur kepada Allah, malah ia satu pembentukan akhlak dan disiplin yang baik.

Ajar anak-anak mengaji Muqaddam atau al-Quran sejak kecil, seboleh-bolehnya ketika anak sudah mula berkata-kata. Ajarkan juga anak bersolat. Biarpun tidak betul pergerakannya, melatih mereka sejak usia muda akan membentuk kebiasaan agar solat bukan lagi menjadi satu bebanan.
Jiwa yang menghayati solat akan terhindar daripada perkara tidak baik seterusnya melahirkan akhlak yang terpuji, Insya-Allah!

Sebagai ibu bapa, sentiasa praktikkan untuk mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Jangan biasakan kata-kata kesat dan negatif kerana ia mudah menjadi doa untuk anak anda.

Ingatlah, jika anak anda hidup dalam kekasaran, dia akan belajar melawan orang lain.

Jika anak anda hidup dalam kritikan, dia akan belajar menyalahkan orang lain.

Jika anak anda hidup dalam ketakutan, dia akan belajar jadi pengecut.


Jika anak anda hidup dalam iri hati, dia akan belajar berasa bersalah.


Jika anak anda hidup dalam kesabaran, dia akan belajar menjadi penyabar.


Jika anak anda hidup dalam galakan, dia akan belajar menjadi yakin.


Jika anak anda hidup dalam pujian, dia akan belajar menghargai.


Jika anak anda hidup dalam persetujuan, dia akan belajar menyayangi diri sendiri;


Jika anak anda hidup dalam kejujuran, dia akan belajar memahami kebenaran.


Jika anak anda hidup dalam keadilan, dia akan belajar menjadi adil.


Jika anak anda hidup dalam keselamatan, dia akan belajar menyayangi diri dan orang lain.


Jika anak anda hidup dalam kemesraan, dia akan belajar untuk menyayangi masyarakat.

Isnin, 28 Mac 2011

Bila anak memberontak

IBU BAPA perlu konsisten dalam membentuk tabiat dan tingkah laku anak-anak.

KITA sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini.

Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa.

Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.    Selanjutnya disini...

Rabu, 2 Februari 2011

Doakan anak setiap hari

Artikel ini buat rujukan mama .... untuk mama belajar mengurus dan memahami askar2 mama yang semakin lasak....

Artikel ni mama copy di sini myMetro | Doakan anak setiap hari  harap2 lepas ni mama akan lebih sabar dalam mendidik mereka....

Dan juga untuk abah.... sama2 kita didik anak2 kita semoga menjadi orang yang lebih berguna.... lebih berjaya dari kita...

Buat ibu bapa diluar sana kalau nak baca... baca lah sampai habis.... kalau tak nak pun terpulang sebab N3 ni mama copy saja bukan mama tulis sendiri... lagipun mama masih belajar untuk memahami karenah dan perangai anak2 mama yang berempat itu..

------------------------------------------------------------------------------------------------

MEMBERONTAK...tengking, jerit, maki, rotan dan seumpamanya hanya akan membuatkan hati anak jadi semakin keras.

"ANAK saya degil, tak mahu dengar cakap!"

"Anak saya malas belajar setiap kali peperiksaan dan ujian di sekolah dia selalu dapat nombor corot!"


LUANGKAN MASA...berikan perhatian pertama kepada anak sejurus pulang dari tempat kerja.

"Anak saya malas solat, kalau tak suruh, dia tidak akan buat!"

Sebagai ibu bapa, pasti ada yang pernah mengeluh sebegini. Perkara ini memang biasa terjadi, lebih-lebih lagi sekiranya anak anda sudah boleh bercakap, berfikir dan menilai (walaupun penilaian berdasarkan tahap peringkat umur mereka saja).


Kanak-kanak dalam lingkungan umur dua hingga tujuh tahun memang sering dilabelkan lasak kerana ingin mencuba apa sahaja yang dilihat dan mereka juga didapati 'tidak dengar kata'.


Apa yang berlaku adalah ketiadaan komunikasi dua hala antara ibu bapa dan anak. Di samping itu, kanak-kanak sebenarnya tidak dapat mendengar arahan dengan baik kerana tidak memberikan perhatian kepada suara ibu bapa.
Sebaliknya, perhatian mereka hanya tertumpu kepada permainan mereka dan alam sekeliling yang ingin diterokai.

Justeru, sekiranya anak anda degil, sering memberontak, membaling barang dan memusnahkan permainan, siapakah yang bersalah?

Sudah tentu orang dewasa kerana tidak berusaha untuk memahami kehendak si anak. Berikut ada beberapa panduan yang boleh digunakan bagi menangani anak sebegini.

- Cuba fahami bahasa anak anda dengan bertanya secara lembut kepadanya. Sebaiknya tinggalkan sebentar apa yang anda lakukan sama ada sedang memasak atau membasuh baju dan berikan perhatian kepada anak.



Selalunya ibu bapa bercakap sambil lewa saja tetapi sebaiknya, pandang muka dan tatap matanya dengan penuh kasih sayang.

Berapa kali dalam sehari kita bertentang mata dengan anak? Perhubungan mata sangat penting dalam apa jua jenis komunikasi walaupun dengan anak kecil. Ingatlah, kanak-kanak sangat memerlukan belaian kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.

- Sebaik sahaja anda pulang bekerja dan mengambil anak dari pusat jagaan kanak-kanak, luangkan masa setengah jam terlebih dahulu bersama anak. Jangan terus ke dapur untuk memasak atau mengangkat kain di ampaian.

Berikan perhatian pertama kepada anak. Tanyakan dengan lembut dan mesra apa yang dibuatnya seharian di rumah bersama pembantu rumah atau di tadika. Dukung dan peluklah dia serta nyatakan di telinganya yang anda sangat sayangkannya.

Bermain-main dengannya kira-kira setengah jam, barulah anda minta diri untuk ke dapur. Mudah-mudahan dia akan lebih mendengar kata kerana perhatian yang diharapkannya sudah diperoleh.

- Ajarkan anak dengan perkataan "tunggu sebentar boleh" sekiranya anak perlukan sesuatu dan anda tidak dapat melakukannya kerana sedang sibuk di dapur.

Layan dia sebaik sahaja berkesempatan. Jangan buat tidak tahu sahaja atau bersikap acuh tidak acuh kerana sebenarnya anda sedang mengajar anak agar tidak menghiraukan orang tua. Kita tidak boleh mengharap dia patuh setiap arahan kita kerana Allah tidak menjadikan dia demikian.

Ingatlah, anak belajar dengan meniru setiap perbuatan kita. Buktinya boleh dilihat apabila dia melayani adiknya pula.

- Cuba fahami personaliti anak anda. Setiap anak dikurniakan Allah dengan personaliti tersendiri. Anak yang suka menjerit walaupun tidak mempunyai apa-apa sebab boleh dikategorikan sebagai inginkan perhatian.

Oleh itu, jika anak ini menjerit, berilah perhatian kepadanya seperti memandang ke arahnya atau bertepuk tangan jika dia menyanyi. Bagaimanapun, anda boleh mengajarkan kepadanya bahawa perbuatan suka menjerit tidak bagus kerana boleh mengganggu adik kecil yang sedang tidur.



Sekiranya anak suka menjerit, anda boleh meminta dia menjerit di dinding berulang kali sehingga dia letih. Mungkin dia akan berhenti menjerit atau membuat perangai beberapa hari.

Sekiranya dia mengulanginya semula, anda suruh dia lakukan perkara yang sama sehingga dia berhenti. Berikan dia hadiah sekiranya anda dapati dia tidak menjerit atau semakin kurang menjerit dalam sehari. Katakan padanya, "Mama berikan hadiah coklat kerana kakak tidak menjerit hari ini." Dengan ini, anak akan faham bahawa ibu bapa tidak menyukai perbuatan itu.

- Sentiasa ingatkan diri anda mengenai sifat positif anak yang keletah dan kerenah anak yang menghiburkan.

Tumpukan perhatian anda kepada kelebihan itu. Jangan mengingati kekurangan anak dan doakan setiap kali selesai sembahyang. Bayangkan anak dengan semua sifat positif yang anda inginkan setiap kali berinteraksi dengan anak.

Anda juga boleh berbuat demikian setengah jam setelah anak sudah masuk tidur dan nyenyak tidurnya. Usapkan dengan lembut pada ubun-ubun kepalanya, cium dan bacakan selawat serta sebutkan harapan anda kepadanya.

Anak-anak hidup dalam dunia yang tiada peraturan. Ibu bapa yang membuat peraturan, disiplin dan galakan kepada anak.

- Periksa siapa yang biasa ditemui anak-anak anda setiap hari. Sekiranya anda menghantarnya ke rumah pengasuh, periksa setiap individu dalam rumah itu (pengasuh, ahli keluarga pengasuh dan kanak-kanak lain yang diasuh).

Adakah terdapat mereka yang membawa unsur negatif? Jika ada, sebolehnya usahakan untuk mencari tempat pengasuhan yang lain kerana perkara ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Biar bersusah hari ini untuk mencari pengasuh yang baik daripada kita menangis di kemudian hari kerana anak tidak mahu menjadi baik.

- Apabila kita memarahi anak pada usia ini dengan nada menengking, menjerit, memaki, mengejek, merotan, mencubit, menjentik dan seumpamanya, hati anak yang asalnya lembut akan menjadi semakin keras.

Dia akan menunjukkan pelbagai cara pemberontakan kerana kesakitan yang dialami di dalam hati dan secara fizikal. Semakin kerap ibu bapa memarahi mereka, maka semakin kuat pemberontakan mereka.

Anak-anak pada usia ini tidak 'makan' dengan cara seperti ini. Ia mungkin hanya berkesan untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi cara ini tidak berkesan untuk mendidik sifat baik yang berpanjangan di dalam diri mereka.

Untuk anak-anak yang nakal, jika mereka melakukan kesalahan, dekati anak serta dakap, peluk, cium, sayang dan dudukkan anak di atas pangkuan, berilah nasihat secara hikmah.

Ceritakan pada mereka apa yang mereka buat itu salah dan apa yang mereka boleh lakukan untuk membetulkan kesilapan tadi.

Link Within

Related Posts with Thumbnails