TeRiMa KaSiH PeNgIkUt SeTiA

Isnin, 13 September 2010

Pelihara adab hari raya

RAMADAN sudah berlalu pergi, bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan Rasul-Nya pada bulan Ramadan yang lalu, mereka sudah pasti akan merasa sedih dengan pemergiannya.

Khususnya apabila menyedari tahun hadapan belum tentu rezeki bertemunya lagi.

Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini.

Lebih malang lagi, apabila golongan ini lebih gembira dengan menganjurkan pelbagai pesta maksiat, yang sememangnya bertentangan dengan 'roh' serta objektif Ramadan.

Bagi yang mendapat keputusan 'gagal' dalam 'peperiksaan' di bulan Ramadan, mereka berjaya memperoleh doa khas malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan' iman yang lebih dahsyat pada bulan berikutnya.

Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.

Sementara itu, bagi mereka yang bijak menggunakan Ramadan yang lalu, ramai yang bertanya bagaimana cara ingin mengekalkan momentum keinsafan dan ibadat selepas Ramadan.

Pastinya, untuk menyamakan tahap kuantiti ibadat di luar bulan Ramadan adalah suatu yang tidak mampu dicapai kerana kelebihan Ramadan itu sendiri.

Cuma jika ingin difikirkan cara pengekalan momentum, ia bermula dengan cara kita menyambut Hari Raya.

Kita andaikan ibadat dan ketakwaan yang kita bawa dari Ramadan ibarat ‘Aiskrim’ dan Ramadan itu adalah peti sejuknya.

Apabila ia dikeluarkan dari peti sejuk, aiskrim akan mencair, namun bergantung kepada cuaca sekeliling. Jika cuaca sekeliling sejuk dan dingin, aiskrim pasti lambat cairnya, atau jika dapat disimpan di dalam bekas tahan sejuk, juga pasti lebih lama kekalnya.

Begitulah hati dan iman kita, ia memerlukan suasana keliling yang baik bagi menjamin kesan Ramadan berterusan.

Tanpa usaha menyediakan ‘cuaca’ sesuai di sekeliling, keimanan di hati akan mula mencair dengan pantas.

Perlu diketahui, cuaca sekeliling yang sesuai itu mesti dijaga bermula dari cara kita meraikan hari raya.

Di ruangan terhad ini, disertakan beberapa perkara yang mesti dijauhi di hari raya bagi memastikan hasil kebaikan yang diraih di bulan Ramadan tidak hilang secepat kilat dan antaranya adalah seperti;


1. Menjaga sentuhan dan pergaulan

Bersentuhan di antara rakan berlainan jantina adalah dilarang di dalam Islam, berpelukan, berpegangan tangan dan yang lebih teruk dari itu semuanya merencat apa saja kebaikan puasa.

Malah berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan juga mesti dihindarkan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam hal ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila membabitkan pemuda dan pemudi.

2. Aurat antara Ipar

Ipar duai yang tidak menjaga aurat satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah.

Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3. Wangian Wanita.

Kaum wanita yang memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

Nabi menyebut wanita yang memakai wangian dan berada di khalayak lelaki bukan mahram adalah haram dan menjauhkan dia dari syurga Allah.

4. Pakaian Wanita

Memakai pakaian sempit dan nipis yang mendedahkan susuk tubuh, lalu bertandang ke khalayak ramai atau menayang aurat tanpa malu.

5. Ziarah kubur tanpa adab

Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain untuk membaca Yasin yang agak panjang dengan alasan meletihkan jika berdiri.

Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang (Mughni Al-Muhtaj, Minhaj at-Tolibin)

6. Meninggalkan solat

Kerana terlalu sibuk berziarah hari raya sehingga tubuh keletihan akibat perjalanan dan makanan yang pelbagai.

Meninggalkan solat secara sengaja adalah satu dosa besar yang mampu memakan habis pahala Ramadan yang lalu.

7. Dosa Bertempoh

Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadan.

Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadan, maka apabila Syawal menjelma, mereka meneruskan semula niat pergaduhan itu tadi.

Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat seperti berdua-duaan bersama pasangan bukan muhrim, atau melakukan perkara yang menaikkan nafsu.

Perlulah diketahui apabila seseorang itu 'menyambung' semula dosanya, maka hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Terlalu banyak lagi senarainya, bagaimanapun cukuplah terlebih dulu apa yang dicatatkan, semoga suasana baik itu mampu dicipta dengan kefahaman perkara yang disebutkan di atas.

Dan saya ini menjawab persoalan individu yang bertanya sama adakah seorang Muslim itu tidak boleh bersuka ria di musim raya dan hanya perlu bersedih saja mengenang pemergian Ramadan?

Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.

Rasulullah SAW juga pernah menegur Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat sahabatnya itu memarahi Aisyah RA dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah baginda bahawa: “Biarkan ia (wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya” ( Riwayat Al-Bukhari)

Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah SWT atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadan namun mengikut ajaran Islam.

Ini kerana, bagi seorang mukmin, mereka pastinya merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT.

Ia bertepatan dengan Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati. (Riwayat At-Tirmizi, : Hasan Sohih ; Al-Haithami)

Dalam aspek ini, maksud bersuka ria itu diterjemahkan bagi mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadan dan bergembira atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, sebagaimana Rasulullah SAW yang menyebut bahawa “Puasa itu benteng” bagi umat islam (Riwayat Al-Bukhari).

Justeru mereka menyambutnya dengan kegembiraan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Peliharaadabhariraya/Article/indexp_html

1 ulasan:

Unknown berkata...

amat menarik perkongsian ini
sebab kadang2 kita alpa dalam bab2 macam ni....

Link Within

Related Posts with Thumbnails