TeRiMa KaSiH PeNgIkUt SeTiA

Rabu, 15 Disember 2010

Keutamaan Hari 'Asyura

Peristiwa Asyura berkait rapat dengan peristiwa Nabi Musa a.s. dimana ketika Allah Taala telah menyelamatkan Nabi Musa a.s. beserta kaumnya dan menenggelamkan Firaun beserta bala tenteranya. Ia adalah hari yang ke sepuluh dalam Bulan Muharam, dan lebih dikenali sebagai Hari Asyura. Dari Ibn Abbas r.a. menceritakan bahawa Nabi s.a.w. tiba di Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada hari 10 Muharam. Nabi s.a.w. bertanya apa yang yang mereka lakukan? Orang Yahudi menjawab bahawa hari ini (10 Muharam) ialah hari soleh (baik). Allah s.w.t. menyelamatkan pada hari ini Musa a.s. dan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari tersebut. Maka Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda lebih berhak dengan Musa daripada kamu (orang Yahudi). Nabi s.a.w. berpuasa pada hari itu dan mengarahkan sahabatnya berpuasa. (Riwayat Bukhari).

Banyak hadis-hadis Rasulullah s.a.w yang menyebut mengenai keutamaan Hari Asyura dan anjuran supaya berpuasa. Antaranya,

Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada Hari Asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada Hari Asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (Sahih Muslim).

Selain itu, kita juga dianjurkan supaya berpuasa pada hari sembilan dalam Bulan Muharam atau disebut hari Tasua'.

Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa Hari Arafah (9 Zulhijjah). Jawab Baginda s.a.w, "moga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi s.a.w ditanya pula tentang puasa Hari Asyura (10 Muharram). Jawab Baginda s.a.w., "moga dapat menghapus dosa tahun yang lalu". (Sahih Muslim).


Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam kitab Al-Umm dan Al-Imla', disunatkan berpuasa tiga hari iaitu hari kesembilan (Tasu`a'), kesepuluh (`Asyura') dan kesebelas bulan Muharram. Tetapi tidak ditegah jika berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja.

Hikmahnya mungkin bagi membezakan amalan kita sebagai umat Islam dengan orang Yahudi yang memuliakan hari ke-10 dalam Muharam sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. Maka umat Islam digalakkan juga berpuasa pada 9 Muharam di samping 10 Muharam.

Bagi masyarakat kita pula, bila menyebut tentang 10 Muharam atau Hari Asyura lebih sinonim dengan ‘Bubur Asyura’ . Ada yang menyatakan bubur asyura merupakan bubur khas yang disediakan dengan sepuluh jenis bahan masakan seperti kekacang, ubi, tepung dan sebagainya. Jika kurang atau terlebih bahan, itu bukan lagi di namakan bubur Asyura.

Ada juga yang berpendapat bahawa bubur Asyura adalah bubur khas yang disediakan bersempena 10 Muharam. Jika disediakan selain pada 10 Muharam, ia bukan lagi dinamakan sebagai Bubur Asyura. Pelbagai pendapat yang kita dengar bila menyebut tentang 10 Muharam dan Bubur Asyura. Namun hakikatnya, bubur Asyura bukanlah satu ibadah yang wajib dilaksanakan. Tetapi, ianya tidaklah di tegah malah terdapat perkara baik yang boleh diteruskan amalannya oleh sesetengah masyarakat. Ada masyarakat kita yang berpuasa pada siang hari dan berbuka puasa dengan hidangan Bubur Asyura yang disediakan di siang harinya secara bergotong-royong.

Oleh itu, jika kita mengambil dari sudut yang baik, menerusi amalan membuat ‘Bubur Asyura’ ini ia mampu menjalinkan silaturrahim di kalangan umat Islam melalui amalan bergotong-royong. Tentu sekali perbuatan ini tidak bertentangan dengan syara’ malah ia turut menyumbang ke arah menyuburkan budaya menyintai syiar Islam. Namun, apa yang paling penting adalah kita tidak melupakan suatu sunah yang baik daripada Rasulullah s.a.w untuk diamalkan iaitu berpuasa pada hari Asyura.

Allahu ‘alam..

2 ulasan:

Kakcik Seroja berkata...

Kakcik sangat suka bubur Asyura yang boleh dipotong2 itu (dah jadi macam kuih - bukan bubur)... :)

zulkbo berkata...

salam..
biasa hari tu
mak saya mesti buat
bubur asyura kedah

Link Within

Related Posts with Thumbnails