TeRiMa KaSiH PeNgIkUt SeTiA

Selasa, 18 Ogos 2009

HASAD DENGKI


FAKTOR YANG MENYEBABKAN HASAD DENGKI

Di dalam Kitab Ihya' 'Ulumuddin karangan Imam Al Ghazali ada disimpulkan sebab-sebab yg menimbulkan perasaan hasad dengki:

Antara lain:-

i) Perasaan Permusuhan dan Kebencian

Ini adalah sebab yang paling banyak menimbulkan kedengkian. Kerana sesiapa yang telah disakiti oleh seesorang lain atas sebab-sebab tertentu atau menyangkalnya dalam tujuan-tujuan tertentu lantaran alasan-alasan tertentu, hatinya pasti marah lalu membenci orang yang menyakitinya itu, maka tertanamlah bibit dengki dalam dirinya. Dengki mengundang perlakuan yang aggresif untuk memuaskan hatinya.

Pendekata perasaan hasad dengki sentiasa bergandingan dengan perasaan marah dan permusuhan.

ii) Merasa Diri Mulia.

Perasaan ini manifestasinya ialah seseorang itu merasa keberatan kalau ada sesiapa yang dianggapnya mengatasi dirinya. Dia tidak rela kalau ada orang lain melebihinya. Kalau ada orang-orang sepertinya yang mendapat lebih pangkat, kuasa, 'ilmu dan harta; dia bimbang kalau-kalau orang tersebut akan bersikap takabbur terhadapnya. Dia tidak boleh tahan dengan sikap mengatasi yang ditunjukkan oleh saingannya itu. Malah ia tidak boleh menerima apa yang dirasakannya sebagai sikap mengatasinya.

iii) Takabbur.

Jelasnya seorang itu mempunyai watak membesarkan diri terhadap orang lain, selalu memperkecilkan dan memperhambakan seseorang. Ia menganggarkan seseorang itu mematuhinya. Apabila orang berkenaan menerima atau memperolehi sesuatu kurnia ia khuatir kalau-kalau orang itu tidak lagi dapat merelakan kepongahannya. Akhirnya orang yang telah mendapat kurnia tersebut akan enggan mengikutinya. Atau boleh jadi ia menganggap orang tersebut akan cuba pula menyainginya.

iv) 'Ujub.

Pernah Allah SWT jelaskan kepada kita perihal umat-umat di zaman silam. Mereka merasa ta'jub dengan diri mereka sendiri. Hal ini menghalang mereka menurut kebenaran. Hujjah mereka selalunya ialah seperti yang tertera di dalam Al-Qur'an:

"Bukankah kamu tak lebih dari manusia (biasa) seperti kami juga?"

Dan ungkapan yang berbunyi:

"Dan mereka berkata adakah wajar kami mempercayai manusia yang seperti kami juga?"

Golongan tersebut merasa anih melihat orang yang berjaya mendapat pangkat kerasulan, menerima wahyu dan martabat yang dekat di sisi Allah SWT ialah manusia seperti mereka. Sebab itu mereka menaruh rasa dengki kepada Rasul-Rasul tersebut.

v) Takut Terlepas Sesuatu Tujuan dan Habuan.

Biasanya perasaan ini ujud dalam kalangan orang yang saling berlumba lumba merebut sesuatu habuan. Tiap orang akan merasa dengki kepada saingannya apabila saingannya mendapat suatu kelebihan yang boleh membantu dirinya sahaja membolot habuan yang menjadi tujuan mereka tadi.

vi) Ghairah Menjadi Ketua dan Mencari Populariti.

Umpamanya seseorang yang bercita-cita untuk menjadi manusia pertama yang tidak ada tolok bandingannya dalam salah satu cabang seni. Apabila keghairahan terhadap pujian dan jolokan - bahawa dialah satu-satunya pakar yang tidak ada taranya di zaman itu - telah menguasai dirinya, tiba tiba dia mendengar ada orang lain yang dapat menandinginya di tempat lain. Hal ini niscaya akan menyusahkan hati perutnya. Ia bercita-cita kalau tandingannya itu mati sahaja atau kemahirannya menurun dan pupus.

vii) Busuk Hati.

Keadaan ini kalau ada pada seseorang maka ia akan bersikap tidak suka sesuatu kebaikan diperolehi oleh hamba Allah yang lain. Apabila disebutkan di hadapannya tentang kesenangan mana-mana hamba Allah, sempit hatinya mendengar hal tersebut. Akan tetapi apabila dinyatakan pula sebaliknya, umpamanya tentang kekacauan, kegagalan dan nasib malang menimpa orang lain maka ia merasa gembira dan suka hati.

1 ulasan:

zai berkata...

Salam Alimaz..

Semoga kita dijauhkan dari sifat2 yang tercela ini..

Link Within

Related Posts with Thumbnails