TeRiMa KaSiH PeNgIkUt SeTiA

Selasa, 21 Julai 2009

Pemakan Bangkai......



Sedapnya kita mengutuk, mengumpat orang sebelah! Memang sudah lumrah, manusia tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Orang tua-tua selalu menyebut, "Kerana pulut, santan binasa; merana mulut (berbisa), badan binasa.

"Dalam apa jua urusan tidak kira di pejabat, dalam lingkungan keluarga dan kawan-kawan, kita selalu terdedah kepada dosa kerana sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu, godaan syaitan dan sebagainya.

Seronok ya, kumpul ramai-ramai dan bersembang. Lumrahnya, manusia gemar bersembang, dari hal politik, kewangan, pelajaran, hiburan (rancangan Melodi pun salah satu platform mengumpat, ya!), teman idaman dan macam-macam lagi. Antara sedar dengan tidak sedar atau lebih kepada buat-buat tidak sedar, dalam sembang-sembang, seringkali brek mulut tak makan dan terbabas masuk bab mengata orang. Orang itu beginilah, begitulah, seolah-olah semuanya serba tidak kena dengan orang yang diumpat tu. Alangkah seronoknya mengaibkan orang lain, syaitan pun seronok mencucuh api, strateginya menjadi! Mengata orang lain,bukan main!! Cuba tgk diri sendiri tu,dah betul sangat ke??



Menjadi juruhebah radio tak rasmi atau internet bergerak, saya kira adalah satu pekerjaan yang tidak beretika. Diingatkan kepada jenis2 manusia macam ni, 'menceritakan aib orang lain untuk menjatuhkan maruah' dan 'menceritakan perihal orang untuk mencari penyelesaian dan pengajaran' adalah dua perkara yang amat berbeza.

Mendedahkan aib orang lain, sedangkan orang yang diumpat tidak mengetahui dirinya diumpat. Ia dilakukan untuk keseronokkan dan bertujuan untuk merosakkan nama baik mengaibkan atau menjatuhkan air muka (maruah) atau merendahkan martabat orang yang diumpat pada padangan umum. (jgn mencari alasan nak bagi pengajaran pada orang tersebut kalau rasa2 termasuk dalam kategori ni ye..)

Berkongsi hal-ehwal demi mencari penyelesaian, tidak ada niat untuk merendahkan martabat orang itu hatta menjatuhkan maruahnya di hadapan orang yang mendengar. Selalunya berkata sebegini tidak akan dihebahkan kepada orang sebarangan, mungkin beberapa orang yang diyakini dapat menberi pandangan/penyelesaian.

Pendek kata, yang pertama adalah "mengumpat", dan yang ke dua itu pula "sendiri mau ingat".Ingat,

bercakap sesuatu aib seseorang yang benar = mengumpat,

bercakap sesuatu aib seseorang yang tidak benar = menfitnah.

(dipilih2!!!nak dosa yang mana??)


Kita sedang membicarakan perkata # 1 seperti yang dinyatakan di atas. Perkara # 1 amat besar bahayanya kerana ia boleh menjurus kepada FITNAH, yang membawa dosa yang lebih besar. Firman Allah SWT yang bermaksud, "....fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan....." (Surah al-Baqarah, sebahagian ayat 191).

Allah SWT mencela orang yang mengumpat sebagai memakan bangkai, "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati (bangkai)? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang." (Surah al-Hujuraat, ayat 12).



Mengumpat juga amat tercela, seperti yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud, "Takutlah ghibah (mengumpat) kerana mengumpat itu lebih buruk daripada zina. Sesungguhnya orang yang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni orang-orang yang ghibah sebelum orang yang diumpat itu memaafkannya." (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)

Aduhai... Cuba baca balik hadis di atas... Nampak tak betapa beratnya dosa mengumpat? Dosa mengumpat lebih BURUK daripada dosa zina! Jika kita sedar kita telah mengumpat orang, cepat-cepatlah minta maaf, sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa kita mengumpat orang selagi orang yang diumpat itu tidak memaafkan kita.

Agak mudah (walaupun sebenarnya sukar) jika kita mengenali orang yang kita umpat, tetapi bagaimana pula dengan orang yang kita tidak kenali? Agak-agak bolehkah kita jumpa orang yang kita umpat di yaumil mahsyar nanti? Bagaimana pula penerimaannya? Agak-agak mahukah dia memaafkan kita?

Apa-apapun, berbuat dosa sebenarnya bukanlah perkara yang pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya adalah apabila seseorang itu KEKAL dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah SWT.

Istighfar amat dituntut dalam Islam kerana amalan itu boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan, tetapi sayangnya kita sukar sekali mengamalkan istighfar walaupun amat mudah untuk kita lakukan. Natijahnya, bertambah-tambahlah dosa yang dilakukan dari sehari ke sehari, kerana kelalaian dan tabiat suka bertangguh.

Dari Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a. katanya seorang laki-laki bertanya kepada Rasulullah SAW "Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?" Jawab Rasulullah SAW, "Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya daripada bencana lidah dan perbuatannya." (Sahih Muslim)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Demi Allah, kalau kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka." (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu mulai sekarang, beringatlah. Istighfar juga bukan setakat jalan untuk memohon ampun daripada Allah SWT, tetapi sebagai suatu sinar cahaya yang menerangi wajah seseorang...
---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Semoga hidup kita dirahmati Allah SWT. Amiin.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah SAW telah pun bersabda yang bermaksud, "Balighu anni walau ayah. (sampaikan daripada ku walau satu ayat)"– Hadis Riwayat Bukhari

Tiada ulasan:

Link Within

Related Posts with Thumbnails