Mana Mak?'
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan
pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah
agama.
Ayah baru balik dari
sawah.
Ayah tanya Mak,
“Along mana?’
Mak jawab, “Ada di
dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,”
Angah mana?”
Mak jawab, “Angah
mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh
mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak
Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik
dah balik?”
Mak jawab, “Belum.
Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom
kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah
penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh
perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan
anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun
kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah.
Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along,
“Mana Mak?”
Along sedang
membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah,
“Mana Mak?”
Angah menonton tv.
Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh,
“Mana Mak?”
Ayah menunggu lama
jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi,
"Mana Mak?"
Ateh menjawab,
“Entah.”
Ateh terus membaca
majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang,
“Mana Mak?”
Alang tidak jawab.
Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya
Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan
dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu
di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati
anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di
mana Mak.
Tidak ada anak-anak
Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu
bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah
mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak
akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya
"Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.
Mereka akan tanya,
"Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di
padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di
mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.
Sekarang anak-anak
sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"
Semakin anak-anak Mak
besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan
pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak
masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu
sakit lutut.
Dari jauh kelihatan
sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak
keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan
plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak
apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman
rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan
daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta
Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil.
Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang
faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti
masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan
menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta
milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun
apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata,
warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena
hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab.
Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah.
Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan
bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak
Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan
Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup
membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima
bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda,
"Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya
itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh
koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi
hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya
anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar
baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar
baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak
seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan
pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk,
akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah
tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari
mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak
makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan
makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama
Mak di meja makan setiap malam.
Ayah tahu Mak penat
sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang
untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan
masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa
Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda
telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."
Mak minta Mak Uda
telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak
akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak
Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang
menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
Mak tahu anak-anak
mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah
susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun.
Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah
anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang.
Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita
kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati
Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik
dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil
tempat Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir,
setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum
diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun
kemudian
Mak Uda tanya Along,
Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang
jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh,
Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada
di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan tangis,
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan
yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada
tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak
datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along,
Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi
semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.
Mak faham, mata dan
telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak
bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada
sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat
merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat
mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab
tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana
Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana
Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak
saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah
silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana
anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa
di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi
kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya
lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?"
"
Kereta merah Ateh
bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut
dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh
tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya
kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala
Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah,
ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun
dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah
bersuara, "Mana Mak?"
Ayah tidak mampu
berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana
Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek
buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung
resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama
dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan
anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu
memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu
tanpa berjawab?
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------Copy dari Facebook..... hanya untuk dikongsi..... Ingat tanpa ibu siapalah kita....
2 ulasan:
Salam alimaz,
Memang syahdu kisah ni. Saya pun ada baca kat satu blog. Terutama bab hati ayahnya hancur sebab teringat mak tak sempat naik kereta ateh.. sob sob..
sedih betul baca... sayangi la mak kita selagi hayatnya
Catat Ulasan