TeRiMa KaSiH PeNgIkUt SeTiA

Rabu, 12 Ogos 2009

MENSYUKURI NIKMAT ALLAH


Saban masa dan ketika kita menikmati kurniaan ALLAH. Setiap detik dan saat sejak kita dilahirkan hinggalah dewasa ini, kita tidak putus-putus dikurniakan dengan pelbagai nikmat. Lantaran ianya berlaku saban masa dan menjadi sesuatu yang lumrah, lantas kita tidak perasan dan menghiraukannya. Kita seolah-olah terlupa bahawa ia adalah hadiah dan kurniaan ALLAH kepada kita. Begitulah perangai kita yang tak ubah seperti kacang lupakan kulit.

Sesuap nasi yang kita makan, setiap teguk air yang kita minum, setiap zarah udara yang kita sedut bahkan setiap pandangan yang kita lihat adalah kurniaan Allah. Tanpa kurniaan ini, kita tidak dapat mengunyah makanan atau meneguk minuman atau menyedut udara di sekeliling kita. Selagi kita hidup di mukabumi ini kita tidak sunyi dari menerima kurniaan ini. Begitulah penyayangnya ALLAH yang bersifat dengan Ar-RAHMAN. ALLAH menganugerahkan kurniaanNya kepada semua makhluk, sama ada yang taat kepadaNya atau sebaliknya. Maka mengapa kita mesti mendustakan kurniaan ini? ALLAH masih sayang kepada hamba-hambaNya meskipun terlalu ramai yang tidak bersyukur di atas nikmat-nikmat itu. Sebanyak 31 kali di dalam Al-Quran, Allah mengulangi ayat di bawah sebagai amaran dan ingatan kepada kita supaya menilai semula sejauh mana kesyukuran kita terhadap nikmatNya.

(Yang mana satu di antara nikmat Tuhan yang kamu dustakan?)

Sebagai makhluk Allah, kita sewajibnya berasa prihatin atas kurniaan ini lalu mensyukuri atas segala nikmat tersebut. Rakaman kesyukuran bukanlah setakat mengucapkan 'alhamdulillah'. Ianya mesti dibuktikan dengan tindakan berdasarkan prinsip 'amal makruf, nahi munkar' atau buat yang disuruh dan tinggalkan yang dilarang. Ini dilakukan setiap masa secara konstan dan terus-menerus.

Malangnya terdapat ramai manusia yang lupa daratan dan lupa akan segala kurniaan ALLAH. Ramai yang tidak mendirikan solat dan segala amalan yang disuruh. Sebaliknya ramai pula yang engkar dan menentang suruhanNya dengan melakukan pelbagai jenis kemaksiatan. Allah Maha Mengetahui bahawa ramai di antara hambanya yang tidak bersyukur, seperti dalam firmanNya:


(Sangat sedikit daripada hamba-hambaKu yang bersyukur)

Kesimpulannya, sebagai menunjukkan rasa berterima kasih kita kepada ALLAH, kita hendaklah sentiasa mengabdikan diri kepada ALLAH dengan segala bentuk amalan ibadat di samping kita meninggalkan kerja-kerja maksiat. Semoga kita termasuk dalam golongan hamba-hambaNya yang bersyukur. Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Link Within

Related Posts with Thumbnails